MEROKOK : MUSIBAH YANG DIUNDANG

Raihan binti Ramli

Tabiat merokok bukan lagi suatu perkara yang aneh dan asing dalam kalangan masyarakat Malaysia bahkan tabiat yang kurang sihat ini seperti telah menjadi suatu norma masyarakat yang dibanggakan. Tabiat merokok ini diterima secara meluas dalam kalangan masyarakat kita. Apalah yang sebenarnya hendak dibanggakan dengan sebatang rokok itu? Ke mana-mana jua kita pergi baik di pusat-pusat membeli-belah, di tepi-tepi jalan hinggalah ke restoran-restoran mewah, pemandangan yang dipenuhi dengan imej orang yang merokok sering menjadi santapan anak mata. Tidak sedarkah mereka akan kesan-kesan buruk yang bakal melanda diri ekoran daripada tabiat buruk ini?
            Tabiat ini telah wujud sejak zaman masyarakat Islam yang terdahulu lagi. Merokok pada zaman itu dikaitkan dengan upacara kebudayaan dan keagamaan. Namun, tabiat itu turut berkembang luas pada zaman ini namun mungkin sebabnya sahaja yang berbeza. Tabiat ini menular bukan sahaja dalam kalangan anak-anak remaja tetapi juga turut melibatkan masyarakat daripada segenap lapisan umur. Apabila ditanya kepada mereka ini, mengapa mahu merokok, pelbagai alasan yang tersendiri terpacul di bibir mereka.
           Ada pendapat yang menyatakan bahawa segelintir masyarakat merokok kerana ingin tampak bergaya di hadapan orang lain. Yalah, bukankah merokok ini dikaitkan dengan tabiat orang Barat? Jadi, bagi mereka, perbuatan yang menyerupai orang Barat mampu membuat mereka tampak hebat dan dikagumi oleh orang lain. Walau bagaimanapun, ternyata tanggapan mereka itu meleset sama sekali. Sebenarnya merokok ini sering dikaitkan dengan orang yang terlalu banyak masalah atau terlalu tertekan. Setiap kali terlihat orang yang merokok, perkara pertama yang terlintas di fikiran individu tersebut ialah orang tersebut pastinya orang yang mengalami tekanan yang serius dan sering dibebani masalah. Mahukah anda dianggap seperti itu oleh orang lain?
       Bagi  orang Islam, sebenarnya tabiat merokok itu tidak baik dan kurang digalakkan. Hal ini terbukti menerusi sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang mengatakan
“Barangsiapa yang meyerupai sesuatu kaum, maka dia terkira dari golongan itu” (Abu Daud)

                Hadis tersebut sebenarnya bermaksud, sebagai orang Islam, kita sewajarnya senantiasa mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu perkara yang menyerupai orang-orang Barat kerana sesungguhnya perbuatan tersebut bukanlah satu perbuatan yang baik. Perbuatan tersebut hanya menjadikan kamu sebagai orang Islam kelihatan seperti orang-orang Barat tersebut yang ternyata mempunyai peraturan dan cara hidup yang berbeda dengan syariah Islam.
       Merokok sebenarnya akan menjejaskan imej dan penampilan seseorang. Menghisap rokok dengan kadar yang kerap menyebabkan nafas seseorang menjadi berbau, gigi yang asalnya putih berseri menjadi kekuning-kuningan, badan sering berbau rokok, dan bibir kelihatan kehitam-hitaman. Hal ini menyebabkan kebanyakan perokok dijauhi oleh orang lain memandangkan imej dan penampilan mereka ini tidak menarik dan kurang menyenangkan.
      Sedar atau tidak, merokok sebenarnya hanya mengundang padah kepada diri sendiri. Menurut kajian yang dijalankan oleh Pusat Racun Negara,USM dan Kementerian Kesihatan Malaysia, sebatang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun dan berisiko membawa maut. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa setiap sedutan boleh dikatakan sebagai sedutan maut. Hal ini kerana asap rokok mengandungi bahan-bahan radioaktif dan pelbagai bahan beracun seperti Tar, Nikotin, dan Karbon Monoksida.
       Mengikut kajian tersebut lagi, Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang boleh menjadi penyebab kanser atau juga dipanggil sebagai karsinogen. Menghisap rokok jika dipandang daripada suatu sudut, perbuatan ini ada persamaannya dengan pengambilan dadah kerana kedua-duanya menyebabkan ketagihan. Rokok boleh menyebabkan ketagihan kerana kandungan Nikotin di dalam asapnya, yang diiktiraf sebagai sejenis dadah oleh dunia perubatan, bertindak balas terhadap otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan.  Jika selalunya menghisap rokok dikaitkan dengan melepaskan tekanan, saya rasa kajian yang dilakukan ini membuktikan bahawa alasan itu tidak boleh diterima pakai kerana ketagihan terhadap rokok menyebabkan seseorang  berkelakuan seperti hilang akal dan berada dalam keadaan yang amat tertekan apabila kehabisan rokok.

Selain itu, Karbon Monoksida yang terkandung dalam asap rokok akan menyebabkan proses pembekalan oksigen ke tisu-tisu terbantut sehingga menyebabkan tisu-tisu tersebut menjadi terencat dan lebih malang lagi boleh menyebabkan maut. Menerusi kajian yang dijalankan lagi, racun rokok tersebut apabila memasuki tubuh manusia mahupun haiwan akan mengakibatkan kerosakan pada setiap organ di sepanjang laluannya iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghadaman, saluaran darah, jantung, organ pembiakan sehinggalah ke saluran kencing atau pundi kencing iaitu ketika sebahagian daripada racun-racun itu dikeluarkan dari badan. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan sistem pernafasan bagi setiap individu terganggu. Bagi individu yang gemar bersukan, sistem pernafasan yang kurang efisien pastinya menyebabkan stamina mereka kurang mantap sekali gus menyebabkan prestasi mereka dalam bidang sukan kian merosot.

     Walau bagaimanapun, merokok bukan sahaja mendatangkan impak negatif kepada diri sendiri bahkan juga turut mengancam orang di sekeliling perokok itu sendiri. Asap beracun rokok menyebabkan wanita yang terhidunya terdedah kepada risiko menghidapi kanser, gangguan kesuburan, dan putus haid awal lebih awal daripada yang sepatutnya.
                Wanita yang mengqandung pula berkemungkinan melahirkan bayi yang kurang berat badan dan tidak cukup bulan ekoran daripada terhidu asap beracun rokok. Di samping itu, kanak-kanak yang sering terdedah dengan asap rokok senang mendapat penyakit lelah, jangkitan paru-paru, dan pertumbuhan paru-paru mereka turut tertanggu. Kanak-kanak ini juga mungkin terdorong untuk menjadi seorang perokok apabila dia dewasa kelak.
        Kesimpulannya, tabiat merokok hanya membawa implikasi negatif kepada diri kita. Oleh itu, sebagai individu yang sentiasa cemerlang, gemilang, dan terbilang serta merupakan pemangkin kepada pembangunan negara Malaysia, kita sewajarnya mengambil inisiatif dalam menangani tabiat ini agar proses pembangunan tersebut tidak terbantut kerana kurangnya warga yang memberi sumbangan.Bagi yang merokok, cuba-cubalah untuk berhenti dan bagi yang tidak merokok, teruskanlah usaha murni anda. Ingatlah bahawa, “Setiap sedutan membawa padah”, jadi, katakan “Tak Nak” kepada rokok!  

<< back to top

<<back to menu

PERUTUSAN PENGETUA

 

Pautan Luaran

Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan

Edu Web TV

Kementerian Pelajaran Malaysia


Pautan Dalaman

Kelab Pencegahan Jenayah

Ragbi

PBSM

 

Bookmark and Share  

Creative Commons License
King George V Secondary School is licensed under a Creative Commons Attribution-Noncommercial-Share Alike 2.5 Malaysia License.
Based on a work at www.smkkgv.edu.my.

© 2008 Sekolah Menengah Kebangsaan King George V. All Rights Reserved.
Search powered byGoogle