Sejarah Sekolah

 

Sekolah  Menengah  Kebangsaan  King  George  V (KGV)  Seremban (1998)  merupakan sebuah sekolah yang terulung  di  Negeri Sembilan. Sekolah ini asalnya merupakan Sekolah Kerajaan Inggeris (Government English School/GES) yang ditubuhkan pada 15 Januari 1923 bertempat di sebuah bangunan stor kereta api Sungai Ujong yang kemudiannya dikenali sebagai KGV. Proses penubuhannya yang  pada mulanya berasal daripada GES bermula pada tanggal 7 Oktober 1926 dengan pembinaan satu blok bangunan baru dan pada akhir tahun 1927 bangunan utama ini siap didirikan dengan perbelanjaan sebanyak RM221,337.82.

Pada tanggal 23 April 1928 bangunan utama yang terletak di Jalan Hose (kini Jalan Za’aba) telah dirasmikan oleh Setiausaha Tanah Jajahan,W.G. Ormsby Gore. Majlis perasmian ini diserikan dengan kehadiran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sir  Hugh Clifford, High Comission of the Federated Malay States and Governor of Straits Settlements), SirR.O. Winsted (Director of Education of the Federated Malay States and Governor of Straits Settlements), Mr Wolffe (British Resident Negeri Sembilan) dan J.M Meade (Inspector General of Schools). Sekolah ini diberi nama sempena Raja England pada masa itu iaitu King George V.

 

Perasmian sekolah pada tanggal 23 April 1928 adalah sempena tarikh yang bersejarah bagi masyarakat England iaitu hari “St.George” yang mana King George V telah dapat mententeramkan dan menyatupadukan masyarakat England. Ketokohan dan kewibawaan King George diabadikan pada lencana sekolah melalui imej seorang pahlawan sedang menunggang kuda. Di bawah imej tersebut tertera perkataan Veni,Vidi,Vici yang bermaksud Kudatang, Kulihat, Kutawan. Kata-kata tersebut pernah diucapkan oleh Julius Caesar, iaitu seorang penakluk yang kemudiannya menjadi pemerintah empayar Rom yang Berjaya menakluki Mecadonia, Syria, Mesir, Gaul dan jajahan Jerman.

Semenjak GES ditubuhkan pada 15 Januari 1023 sehingga sekarang, SMKKGV telah mengalami perkembangan yang amat pesat. Guru Besar yang pertama GES ialah En. Chin Meow Cheong dengan dibantu oleh sembilan guru lain iaitu En.George Van Geyzal, H.R.H Stafford K, Azford Totf, S.B Poniah, Wheeler Seneviraftne, Q.E Fernandez, Cheah Yen Kwee, Lim Cheah Aik, dan Puteh bin Tahir yang merupakan guru melayu pertama mengajar di sini. Bilangan pelajar ketika itu seramai 125 orang yang diambil daripada kalangan pelajar Melayu yang lulus darjah 4 atau 5 sekolah Melayu ditempatkan dalam sebuah kelas yang dinamakan “Special Malay Class”.

Pada tahun berikutnya terdapat kemasukan pelajar-pelajar bukan Melayu. Pelajar India pertama memasuki sekolah ini ialah R.Kanapathy dari Estet Labu manakala pelajar Cina yang pertama ialah Goh Hock Kwee. Meskipun sekolah ini baru ditubuhkan namun kejayaan cemerlang telah dapat dicapai. Pada tahun 1926, seramai 26 orang pelajar telah menduduki Peperiksaan Junior Cambridge. Salah seorang daripada pelajar-pelajar tersebut ialah Shamsuddin Nain yang kemudiannya menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada tahun 1953. Pada tahun 1933, ketika sekolah ini di bawah Pengetua R.J. Huddie, buat kali pertamanya pelajar perempuan mendaftar diri di sekolah ini, iaitu Remola Sen, anak seorang doktor, manakala  Che Jamiah Bt. Yaakob merupakan pelajar perempuan Melayu pertama yang memasuki sekolah ini. 

Jadual waktu persekolahan pada tahun 1920-an adalah mengikut jadual perjalanan keretapi. Pelajar dari luar Seremban  seperti dari Rembau berulang alik ke sekolah menaiki keretapi. Sekolah bermula pada jam 9.40 pagi apablia keretapi sampai, dan tamat jam 2.40 petang apabila keretapi bertolak. Hanya pada tahun 1930-an, Pengetua E.H. Wilson telah merombak semula jadual waktu persekolahan bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 1.00 tengah hari. Menjelang Perang Dunia Kedua, bangunan sekolah ini telah diambil alih oleh Tentera Diraja Australia menyebabkan pelajar-pelajar SMKGV terpaksa belajar di beberapa tempat lain seperti Kelab Negeri Sembilan, Kelab Melayu dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan guru-guru terpaksa menggunakan basikal untuk beredar dari satu kelas ke kelas yang lain. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, SMKGV telah dijadikan ibu Pejabat Polis Tentera Jepun oleh Regimen Miyazaki Butai. Selepas kekalahan Jepun, tentera British pula menggunakan sekolah sebagai hospital tentera selama enam bulan. Bagi menanamkan semangat cintakan sekolah, pada tahun 1969 Pengatua En.K.Anandarajan untuk pertama kalinya telah memperkenalkan lagu sekolah yang dinyanyikan hingga sekarang. Lirik lagu dihasilkan oleh beliau bersama En. Peter Ng Kong Chon, manakala lagunya dicipta oleh Dr. Arne (Thompson) dan digubah semula oleh En. Peter Ng Kong Chon. Keunikan sekolah ini terserlah apabila siapnya kolam renang yang berharga RM73,000 dan dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada 25 oktober 1969. Kolam renang ini sepanjang 25 meter dan mempunyai lima lorong. SMKKGV merupakan sekolah pertama di Negeri Sembilan yang mempunyai kolam renang dan telah berjaya menghasilkan perenang-perenang berkaliber mewakili sekolah, daerah ataupun negeri. 

Perkembangan SMKGV yang telah mencecah usia 79 tahun telah mengalami banyak perubahan sesuai dengan peredaran  masa. Perubahan yang paling ketara adalah dari segi pertambahan fizikal dan prasarana seperti pemindahan Asrama Putera dari kawasan gelanggang bola keranjang dan gelanggang tenis di padang sekolah ke tempat yang ada sekarang, pembinaan bangunan empat tingkat di atas bekas tapak kantin lama, Kompleks Kemahiran Hidup, Kompleks Makmal Sains, Kompleks Pusat Sumber Sekolah yang merangkumi Perpustakaan, Makmal Bahasa, Kafe Siber dan Dewan Theatrette, Makmal ICT, Pejabat, Bilik-bilik Pengurusan, Bilik Operasi PPKS, Bilik Nukleus ,Bilik Kaunseling, Bilik Gerakan, Pejabat Guru, Stor Pusat, Surau Saidina Hussin, Kompleks Sukan, dan sebagainya. 

Semenjak penubuhannya, SMKKGV terus mencatatkan pelbagai kejayaan cemerlang dalam bidang akedemik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan. Antaranya, SMKKGV memenangi tempat pertama Anugerah Kualiti Menteri Pelajaran 2004 Kategori Sekolah Berasrama Penuh, mencatatkan pencapaian seratus peratus bagi tempoh tahun yang ketujuh berturut-turut bagi PMR, tempat kedua dalam senarai sekolah harian cemerlang SPM di seluruh Negara, tempat kesepuluh terbaik STPM seluruh Negara,di samping kejayaan-kejayaan lain sama ada di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa dalam aktiviti kokurikulum. 

Kegemilangan dan kecemerlangan sekolah ini dapat dibuktikan dengan kemampuannya melahirkan ramai tokoh yang berkecimpung dalam berbagai lapangan seperti Datuk Dr. Fong Chan Onn (Menteri Sumber Manusia), Prof Datuk Dr. Hamzah Sendut, Prof Tunku Shamsul Bahrin, Prof Datuk Dr. Hood Salleh, Tan Sri Hashim Aman, Datuk Punch Gunalan, Prof Norazit Selat, J.V. Jayan, seniman Dato’ Mustaffa Maarof, pengarah filem Suhaimi Baba, dan sebagainya. Kemajuan dan kejayaan yang dicatatkan oleh SMKKGVadalah hasil daripada dinamisme kepimpinan 36 orang Pengetua di samping sokongan seluruh warga sekolah, komitmen ibu bapa dan bekas penuntut. Tradisi kecemerlangan ini bukan sahaja menjadi jati diri kepada seluruh warga sekolah malah akan terus dipertahankan. Semoga para “Georgian”yang dilahirkan dari sekolah ini dapat membulatkan tekad dan memantapkan komitmen untuk melaksanakan tanggung jawab mengekalkan tradisi kecemerlangan ini dan seterusnya mengangkat martabat bangsa Malaysia menerusi wadah pendidikan bagi menangani segala hambatan kepada kesejahteraan kehidupan yang semakin rumit.

 

Falsafah Sekolah

Semua insan boleh dididik ke arah kecemerlangan

Joomla templates distributed by JoomlaShine